top of page
Search
Writer's pictureZaky Jaafar

Istana Kristal Yang Mencetuskan Senibina Moden

Updated: Apr 29, 2021

Oleh Zaky Jaafar


Seawal kurun ke 19, senibina barat dipengaruhi dengan gaya seni bina klasik, neo klasik, gothic dan renaissance yang berbagai ragam. Secara umumnya senibina2 ini memaparkan kaitan dengan sejarah tamadun barat. Oleh itu ia penuh dengan dekorasi, estetik dan simbol2 yang sarat dengan makna dan kiasan yang menjurus kepada sejarah perkembangan tamadun barat yang secara umumnya bermula dari senibina klasik (Lihat artikel di dalam blog ini tentang senibina klasik) . Dari segi teknologi, ia dicirikan dengan binaan batu bata dengan lepaan yang menghasilkan rupa senibina yang berat, dengan tingkap2 dan bukaan yang terhad.


Namun menjelang awal kurun ke 20 terdapat golongan yang mula merasakan kesaratan kandungan makna dalam senibina2 itu tidak lagi perlu dan tidak sesuai dengan era moden. Tambahan pula di waktu itu kemajuan teknologi bahan dan pembinaan memungkinkan arkitek dan pereka mencipta gaya bangunan yang baharu, lalu mencetuskan imaginasi bagi mereka untuk mencuba membina sesuatu yang baharu.


Selepas revolusi industri, negara barat terutamanya britain mampu menghasilkan logam, kaca dan lain2 bahan dengan banyak dan cepat. Ada suatu peristiwa yang memperkenalkan teknologi bangunan menggunakan logam dan kaca ke mata dunia. Ketika itu Britain mengadakan Pameran Agung 1851 di Hyde Park, London. Ia adalah suatu ekspo dimana negara2 dari serata dunia dijemput untuk mempamerkan produk dan teknologi masing2.


Untuk menempatkan pameran tersebut, penganjur memerlukan bangunan sementara yang boleh dibina dengan pantas. Selain dari kepantasan, bangunan tersebut mestilah mempunyai ruang yang besar dan luas dan mempunyai pencahayaan yang cukup. Jika menggunakan teknik konvensional, maka perkara ini tidak dapat dilakukan kerana senibina konvensional waktu itu adalah berat dengan dinding yang tebal dan mempunyai bukaan yang kecil selain dari tempoh masa yang lama untuk pembinaan.


Untuk itu, Joseph Paxton, seorang jurubina Britain, telah menghasilkan rekaan sebuah bangunan yang sangat unik diwaktu itu, iaitu dengan menggunakan struktur besi tuang dan kepingan kaca tuang. Ia boleh dibina dengan pantas. Penggunaan besi tuang berbanding dengan batu bata menghasilkan bangunan yang jauh lebih ringan. Dengan penggunaan bahan ini, ruang yang luas mampu dihasilkan dengan struktur yang minimal. Selain dari itu, teknik ini membolehkan bukaan yang banyak untuk cahaya siang. Kepingan kaca tuang digunakan untuk menutup bukaan yang luas ini.


Oleh kerana pembinaannya mengambil manfaat dari bahan yang dihasilkan secara berindustri, ringan dan menggunakan sistem modular, ianya siap dibina dalam masa 9 bulan sahaja, sesuatu yang tak pernah dicapai sebelumnya. Setelah siap bangunan ini memanjang sejauh 1,848 kaki dan berkelebaran 454 kaki. Dari segi visualnya pula, bangunan yang tercipta merupakan sesuatu yang amat luarbiasa ketika itu. Ianya kelihatan seperti rumah kaca yang sangat besar. Kerana Keunikan ini ia di beri gelaran “The Crystal Palace” atau istana kristal.



Istana Kristal (The Crystal Palace), Hyde Park,London 1851

Impak dari Istana Kristal ini sangat bermakna. Ia merupakan salah satu pencetus dan asas kepada senibina moden. Kalau kita melihat banyak bangunan moden hari ini yang terbina dari kaca dan keluli, ianya adalah rentetan dari pencapaian yang ditunjukkan oleh bangunan ini. Namun ada aspek lain Istana Kristal yang menjadi pencetus kepada prinsip2 senibina moden yang lain.


Selain dari gaya visual yang unik, dan sistem pembinaan modular yang inovatif, pendekatan rekabentuk bangunan ini juga menjadi salah satu asas prinsip senibina moden. Iaitu ia dibina semata2 untuk memenuhi fungsi tertentu (dibina pantas dan dengan ruang yang luas) tanpa banyak keremehan tentang hiasan atau gaya. Ini seolah2 menjadi penawar kepada arkitek ketika itu yang sudah muak dengan gaya senibina semasa yang sarat dengan simbolisme dan penyataan lambang sejarah melalui rupabentuk dan hiasan. Pendekatan baharu ini menjadi ikutan ramai arkitek dan dirumuskan oleh Louis Sullivan, seorang arkitek Amerika Syarikat dalam sebuah penulisan tahun 1896 sebagai prinsip “Form follow function” atau “Bentuk mematuhi fungsi”.


Kezuhudan pendekatan ini menarik minat pereka waktu itu yang merasakan rekabentuk bangunan seharusnya memenuhi fungsi dengan berkesan, sesuai dengan keperluan memenuhi permintaan bangunan yang mendadak terutamanya selepas perang di mana bangunan perlu dibina dengan pantas dan jimat, tanpa perlu banyak berceloteh tentang makna dan sejarah. Prinsip ini seterusnya menjadi salah satu teras kepada senibina moden dan diterjemahkan oleh ramai arkitek senibina moden yang lain dalam bangunan mereka, seperti Frank Loyd Wright, Mies Van der Rohe, dan Le Corbusier.


Kesan dan impak dari Istana Kristal ini menjangkaui bidang senibina. Oleh kerana ia sangat penting dalam sejarah pemodenan Britain, seluruh kawasan kejiranan tersebut yang terletak di dalam kota London, telah dinamakan sebagai Crystal Palace. Hari ini nama Cyrstal Palace juga terkenal dikalangan peminat bolasepak dunia sebagai salah satu kelab bolasepak liga Inggeris yang mempunyai penyokong dari serata dunia.


Rujukan:


  1. Sullivan, Louis H. The tall office building artistically considered. Lippincott's Magazine, March 1896.

  2. Encyclopedia of 2oth Century Architecture – The Thames and Hudson, 1986.

  3. https://scenarioarchitecture.com/advice/crystal-palace-an-ode-to-modernism-and-structural-history

  4. https://en.wikipedia.org/wiki/Great_Exhibition

  5. https://en.wikipedia.org/wiki/Modern_architecture#Origins

55 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page