KOMPLEKS PKNS SHAH ALAM: MODEL KOMPLEKS BELI BELAH AWAM
- Zaky Jaafar
- May 6
- 3 min read

Selepas beriadah di Taman Tasik Shah Alam pada pagi hari, tergerak hati untuk menjenguk Kompleks PKNS Shah Alam. Tidak seperti kompleks perniagaan swasta, ia hanyalah setinggi 4 tingkat, dengan tempat letak kereta di besmen yang agak sederhana. Sekali pandang, terdetik hati mungkinkah ini contoh pembangunan aktiviti ekonomi yang berteraskan pembinaan masyarakat, dan bukan untuk meraih keuntungan melangit.
Ketika melangkah masuk, terimbau kenangan kesini sewaktu zaman belajar dahulu. Ia masih tidak banyak beza. Gerai-gerai peniaga runcit yang menjual buku, cenderahati, butik baju melayu, kedai gambar, kedai cetak dan lain-lain perniagaan yang majoritinya dipunyai oleh peniaga kecil persendirian. Yang jelas kebanyakan kedai di sini memenuhi keperluan masyarakat Melayu yang menjadi majoriti di kawasan Shah Alam ini. Namun begitu terdapat beberapa kedai francais seperti Zus Coffee.

Dari segi senibinanya, ia menggambarkan pembinaan rendah guna tenaga, ruang atriumnya adalah menggunakan pengudaraan semula jadi. Ini memberi kelebihan kepada pemilik untuk mengelakkan membayar kos pendingin hawa yang tinggi.
Pencahayaan siang di atriumnya pula dari bukaan di aras bumbung menggunakan tingkap klerestori, iaitu teknik pencahayaan dengan meletakkan tingkap menegak di bumbung dan bukan tingkap rooflight di bumbung. Ini teknik yang lebih sesuai di dalam iklim negara ini. Bukaan cahaya dengan tingkap menegak begini membolehkan cahaya siang masuk tanpa membawa kepanasan yang berlebihan. Boleh dibayangkan di waktu siang, tidak perlu pencahayaan letrik bagi menerangi ruang atrium ini.

Namun apa yang lebih menarik perhatian saya, ialah apa kesan kompleks ini kepada penduduk setempat. Yang saya pasti, ia membolehkan peniaga yang bermodal kecil mempunyai tapak perniagaan yang sesuai untuk aktiviti ekonomi setempat. Saya membayangkan sekiranya ia dibangunkan dengan model kompleks perniagaan mega seperti KLCC atau Midvalley, besar kemungkinan peniaga persendirian tidak mampu untuk menyewa kerana harga sewaan yang tinggi.
Oleh kerana pemajunya ialah PKNS sendiri, jadi objektif pembangunan kompleks ini lebih bersifat egalitarian berbanding seandainya ia dibangunkan oleh pemaju swasta. Ia memberi manfaat kepada masyarakat setempat bertukar dagangan dan memberikan suntikan aktiviti ekonomi tempatan yang baik.
Namun kejayaan model pembangunan sebegini juga mempunyai cabaran tersendiri. Sebagai pemaju, PKNS bertanggungjawab menguruskan hartanya secara lestari, iaitu memperolehi pulangan yang setimpal bagi menampung kos operasi kepada organisasi. Oleh itu, tarikan kepada konsep mega mall yang mempunyai plot ratio yang tinggi adalah kuat. Namun seperti yang digambarkan tadi, seandainya ini menjadi pilihan, maka kesannya ialah ia mungkin menutup peluang kepada penduduk setempat, dan menarik pelabur yang mempunyai modal yang besar untuk menyertai aktiviti ekonomi tersebut.
Dalam menyediakan pembangunan seperti ini, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian untuk memastikan kejayaannya:
Ianya mesti hampir dengan hub pengangkutan awam seperti stesen bas, stesen MRT atau LRT, keretapi komuter bahkan sebagusnya ia dapat didatangi oleh penduduk sekitar dengan berjalan kaki. Ini kerana, selain dari ia lebih mesra alam, ia juga memastikan segmen pelanggan yang mungkin terdiri dari yang berpendapatan sederhana dan rendah mudah untuk mendatanginya.
Sewaan yang mampu dibayar oleh peniaga kecil dan sederhana. Objektif pembangunan mestilah bersifat mesra masyarakat, egalitarian. Memberi peluang perniagaan kepada penduduk sekitar boleh meningkatkan aktiviti ekonomi setempat. Pemaju awam seperti PKNS perlulah mempunyai objektif untuk mensejahterakan komuniti setempat, dan bukannya semata2 meraih keuntungan dari aset yang ada. Falsafah ekonominya mestilah melihat kesan jangka panjang dan diluar dari pulangan kewangan semata-mata.
Kos penyelenggaraan yang rendah. Untuk menjamin kelestarian operasi, rekabentuk perlulah menitikberatkan rekabentuk kos selenggaraan yang rendah. antaranya dengan menggunakan kemasan yang tahan lama, mudah dibersihkan namun menarik.
Demi untuk menarik pengunjung, lokasi yang bersesuaian harus difikirkan. Kompleks PKNS Shah Alam beruntung kerana terletak bersebelahan dengan Taman Tasik yang menjadi tumpuan komuniti Shah Alam. Ia antara taman tasik yang tercantik di negara ini.

Walaupun ia berhampiran dengan Masjid Shah Alam, namun agak sukar untuk pengunjung masjid mendatangai kompleks ini kerana agak jauh dan sukar bagi pejalan kaki. Mungkin pada masa hadapan, pembangunan seperti ini perlu dirangkumkan dengan Masjid. Selain dari menambah bilangan penunjung, ia juga boleh menggalakkan penduduk setempat hampir dengan aktiviti keagamaan.
Apapun tahiah kepada pengurusan kompleks Shah Alam kerana secar amnya, ia diuruskan dengan baik. Mungkin dengan penambahbaikan berterusan, ianya akan menjadi lebih berdaya maju lagi.
Z J, 6 Mei 2025.
Comments