Dalam memilih tajuk sebuah tesis studio senibina, apakah pelajar boleh memilih apa sahaja tajuk yang terlintas di fikiran, atau yang menjadi impiannya? Sering perkara ini tiada garis panduan yang jelas. Atas nama kreativiti, dan kebebasan minda, ada pensyarah studio yang meletakkan kebebasan sepenuhnya kepada pelajar untuk menentukan halatuju tesis masing2. Namun disini ingin ditekankan, terdapat beberapa masalah yang mungkin timbul dengan pendekatan sebegini.
Senibina, tidak seperti bidang seni lain, ia berasaskan kepada penterjemahan idea kepada objek yang akan digunakan oleh masyarakat, dan memerlukan sumber yang banyak untuk dibina, menggunakan tenaga dan sumber yang banyak untuk diselenggara dan di gunakan. Kalau artis seni halus, atau seni arca contohnya, mereka hanya akan menggunakan beberapa keping kayu, canvas, atau besi dan beberapa kimia untuk menghasilkan idea. Tapi bangunan, ia akan menggunakan batu, kayu, tanah dan sumber lain dengan banyak dan menggunakan sumber tenaga, air bertahun2 lamanya. Ia akan menjadi hasil seni yang terpaksa ditatap samada suka atau tidak.
Oleh itu adalah tidak sepatutnya penerokaan ilmu bidang senibina dibiarkan meneroka segala macam idea tanpa memberi perhatian kepada isu sumber alam dan masyarakat. Kalau dikaji sejarah senibina, pada awal kurun ke 20, terdapat kesedaran tentang perlunya senibina mempunyai asas sosioekonomi, kemasyarakatan dan sosio politik yang kukuh. Modenisme memerlukan senibina membuat pendirian tentang erti tamadun, struktur pemikiran dan struktur sosial dan erti kemajuan dan pembangunan. Pasca modenisme pula menekankan isu-isu kemanusiaan dan keadilan sejagat. Dari pertengahan kurun ke -20 pula, mula ada kesedaran tentang perlunya dimensi kelestarian alam diberi perhatian dalam senibina. Pembangunan hijau, senibina lestari, teknologi cekap tenaga menjadi bualan di studio2 senibina bahkan menjadi tumpuan arkitek tersohor.
Di dalam arus perkembangan pemikiran senibina dewasa ini, dengan isu dan pemikiran yang bermacam2, ada kemungkinan pelajar senibina memfokus terlalu awal kepada salah satu isu tanpa menyedari kaitannya dengan isu2 yang lain di dalam sistem pemikiran senibina. Mungkin ada pelajar yang memilih tesis yang berfokus kepada pemikiran rekabentuk seorang arkitek atau artis yang masyhur, tanpa mengetahui apakah asas jalur pemikiran arkitek tersebut. Contohnya tesis bertajuk 'Pemikiran senibina fenomenologi Zumthor'. Mereka akan menggunakan ciri2 rekabentuk Peter Zumthor tanpa mengetahui kiritikan epistemologi yang diperjuangkan oleh falsafah fenomenologi. Akhirnya apa yang jadi ialah semata2 penciplakan bentuk2 senibina Peter Zumthor tanpa ada tesis yang kukuh.
Mungkin pula ada pelajar yang menjadikan 'bandar pintar' sebagai fokus tesisnya. Maka segala macam konsep dan teknologi bandar pintar akan dimasukkan kedalam tesisnya. Namun pendekatan teknologi memerlukan kefahaman jalur pemikiran sosioekonomi dan budaya yang tidak dibincang secara langsung di dalam naratifnya. Akhirnya berkemungkinan pelajar tersebut menghasilkan bandar pintar yang sangat canggih tapi mempunyai kesan kemasyarakatana yang menindas, atau kerosakan sistemik penggunaan sumber pada peringkat global. Sebagai contoh mudah, penggunaan kereta elektrik digembar-gemburkan sebagai penyelesaian terbaik untuk mengurangkan pencemaran di bandar, tapi sumber untuk menghasilkan bateri kereta elektrik memerlukan eksploitasi sumber alam yang mencemarkan dan meruntuhkan komuniti di afrika di mana kobalt dilombong untuk membekalkan bahan yang perlu.
Oleh itu dalam menghasilkan tesis senibina, terdapat jaringan maklumat ataupun pengetahuan asas yang perlu ada dalam pembentukan tesis. Jaringan maklumat ini memerlukan pendekatan pemikiran yang lebih syumul, berjaringan luas. Kaedah pemikiran sebegini digelar pemikiran sistem (System thinking), ataupun boleh diterjemahkan sebagai pemikiran holistik atau syumuli. Ia berbeda dengan kaedah pemikiran yang konvensional dewasa ini yang bersifat reduksionistik.
dalam pemikiran syumuli (holistik), secara asasnya segala perkara yang berkait dengan sesuatu fenomena harus diperhatikan. walaupun seolah2 dilihat ia tiada kaitan. Pemikiran syumuli seandainya digambarkan di dalam rajah, ia umpama jaringan sarang labah2 yang mempunyai ratusan sambungan benang yang membolehkan sang labah2 pergi kemana2 di dalam jaringan tersebut dengan mudah.
Persoalan yang timbul, seandainya terlalu banyak isu yang perlu diperhatikan, isu yang manakah yang patut diutamakan untuk tesis senibina yang hanya mempunyai jangkamasa setahun untuk diselesaikan? Tak mungkin seorang pelajar mampu untuk meneroka setiap ceruk ilmu tamadun manusia dalam menghasilkan tesisnya. Oleh itu apa yang disarankan di sini adalah beberapa skop ilmu yang perlu untuk membangunkan sebuah tesis studio senibina yang lebih bertanggungjawab kepada alam dan masyarakat.
Disini digariskan perkara2 yang perlu menjadi naratif asas dalam pembentukan sebuah tesis senibina. Ianya bukanlah senarai muktamad namun pada masakini, ianya merangkumi hal-hal yang penting dalam penghasilan cadangan senibina.
Seacara dasarnya, tesis studio senibina yang bertanggung jawab, secara umum perlu merangkumi aspek berikut:
Falsafah umum- Socrates, Aristotle, Descartes, Hume, Kant, heidegger dll.: Falsafah2 ini menerangkan susur galur dan sejarah pembentukan pemikiran dan epistemologi moden. Ia penting untuk memahami kelahiran institusi dan pemikiran moden.
Dialektik modenisme -Merangkumi Reduksionisme dan Saintisme dan Pasca moden- Merungkai kemajuan dan pencapaian sains dan teknologi. Pelajar perlu memahami bagaiamana pemikiran saintisme mencetuskan tekonologi yang melahirkan revolusi industri dan geopolitek kolonialisme. Ia juga menerangkan bagaimana takrifan kemodenan yhang terhasil dari dialektik ini memilih model ekonomi kapitalis yang menjadi tunjang tamadan moden.
Sejarah tamadun- Pemikiran moden, revolusi industri Eropah kurun ke 18, Era Enlightenment, Kolonialisme, Urbanisasi.: Akan memberi pemahaman tentang punca kelahiran kapitalisme dan reaksi sosialisme
Sejarah senibina silam, klasik, neoklasik, moden dan pasca moden.- penting untuk mengetahui bagaimana senibina dipengaruhi oleh falsafah dan sosiobudaya moden.
Dualisma kapitalis dan siosialis- Adam Smith, Milton Friedman, Marx dan Ingle. Pembangunan di era moden, bahkan di era IR4, tesis senibina tidak boleh lari dari mengambil kira dua spektrum ekonomi ini. Tidak cukup dengan itu, segala macam variasi moden antara keduanya perlu juga ditelusuri.
Pembangunan lestari - Brundlandt report, Paris Declaration, SDG 17, ESG dll. Ini perkara asas yang mesti ada dalam setiap projek. Kalau di awal 2000 ia masih baru dan perlu diperdebatkan, namun sekarang lebih kepada aplikasi dan kaedah perlaksanaan.
Globalisasi dan neoliberalisme- Pemerhatian yang lebih terperinci bagaimana kuasa kapitalis dan sosialis dan yang terkini neoliberalisme, tumbuh, bergeser dan bermutasi untuk mempengerahi dunia dan memberi kesan keatas hampir semua aspek pembangunan moden.
Segala macam gerakan pasca moden dan gerila yang berada di antara kapitalisme dan sosialis seperti Projek Venus yang dipelopori oleh Jacques Fresco, gerakan Zeitgeist oleh Peter Joseph, dan gerakan Solar punk antara yang menarik untuk di rujuk.
Perkara di atas di antara lain, yang harus ada dalam naratif sebuah tesis studio senibina. Walaupun objektif akhir setiap tesis mungkin hanya memfokus kepada suatu skop kecil dalam pembinaan tamadaun, namun untuk memastikan tesis tersebut tidak telepas hal asas yang mungkin mengandungi kerancuan paradigma, maka hal di atas perlu menjadi pertimbangan setiap tesis studio senibina.
Zaky Jaafar, Oktober 2024
コメント