Artikel ini adalah bahagian 2 dari terjemahan dan adaptasi dari artikel “The Architectural Assocation” yang ditulis oleh Alan Balfour dalam “Educating Architects”, Academy Editions 1995. (Bahagian satu di sini)
Oleh Alan Balfour
Sekolah2 senibina pada asasnya berevolusi demi pihak yang memerintah (Gereja, raja atau negara), dengan menyediakan ahli2 yang mampu membina bangunan dengan rekabentuk dan aspirasi yang sesuai dengan tanggungjawab mereka kepada rakyat atau menggambarkan kegemilangan negara. Ini sudah menjadi kelaziman sejak dari terasasnya sekolah2 senibina rasmi di kurun ke 18M, dibangunkan untuk memperagakan kepada umum kegemilangan pemerintah Perancis, sehinggalah yang baru dibina untuk memenuhi keperluan sederhana Belanda yang mengamalkan demokrasi sosial, atau California yang bermatlamatkan kepenggunaan beretika.
Dari segi sejarah, Kepentingan Architectural Association London ini adalah kerana ia diasaskan sebagai reaksi kepada sistem pendidikan yang dikawal oleh kerajaan dan golongan berkuasa. Di dalam bukunya “The New Leave Discourses” yang menjadi benih kewujudan sekolah ini, Robert Kerr, pengasas bersama dan presiden pertama AA menulis pada 1847:
Yunani dan Gothic – dua kuasa gergasi, memecahbelahkan dunia kearah perang dunia. Di antara dua tonggak ini, senibina mungkin akan rebah ke bumi dengan rela. Mungkin akhirnya para arkitek akan bebas berfikir sendiri.
Kecelaruan hari ini dalam mengevolusikan suatu bentuk senibina, seakan suatu ulangtayang keadaan yang sama di kurun ke 19, dimana ketika itu golongan atasan yang berkuasa, bergelut dengan impian liberalisma yang semakin kuat, dan pemerdekaan rakyat jelata. Mungkin hari ini ramai yang tidak menyedari, dua keadaan yang bertembung ini adalah sarat dengan kekeliruan moral dan kesan politik. Rupabentuk Yunani membawa makna rasional dan demokrasi. Manakala Gothic pula, membawa prinsip kebebasan memilih yang disatukan dengan pegangan yang sama. Kerr, merenung tentang nasib senibina di pertengahan kurun Britain ini, menulis:
Kita mempunyai kemahiran tertinggi yang boleh dicapai, kita mempunyai permintaan tertinggi yang pernah dipesan, kita mempunyai kuasa yang mutlak keatas bahan binaan, oleh itu tidakkah kita sepatutnya berharap kepada sesuatu yang lebih hebat?
Dididik dengan pendidikan dari Scotland dan dipengaruhi oleh pengalaman singkatnya di Amerika Syarikat, Kerr melihat keperluan terhadap suatu jenis sekolah yang akan menjawab kepada kehendak demokrasi liberal yang masih tidak jelas. Hanya ada dua laluan pengajian senibina yang ada ketika itu, iaitu sekolah rekabentuk milik kerajaan, dan sistem perantisan, yang memerlukan pelajar menjadi anak murid seorang pengamal senibina professional (Arkitek). Dalam kedua2 laluan ini, murid arkitek itu akan diserapkan, tanpa soal, kedalam nilai2 senibina yang ditentukan oleh golongan yang berkuasa. Kerr, dalam tindakbalas, mewujudkan organisasi yang bertujuan mempromosi sebuah persatuan arkitek muda yang bebas berkumpul untuk belajar. Mereka bertukar2 pendapat melalui perbincangan yang kritis atas hasil kerja mereka, dan menjemput mana2 arkitek professional yang berminat, dan dari pertukaran idea ini, membolehkan idea senibina mereka diperbaharui dan becambah melalui penilaian-ulasan yang berterusan ke atas amalan yang lazim. Ia tidak ditubuhkan sebagai sekolah konvensional, tetapi sebagai satu kelompok yang ahli2nya terdiri dari pelajar dan pengamal, bertekad untuk sentiasa menatar projek senibina mereka sebagai tindakbalas kepada kehendak semasa yang sentiasa berubah. Tidak akan ada pensyarah kekal dan tiada kuasa luar.
(Bersambung...)
(Terjemahan dan adaptasi Zaky Jaafar)
Comments