top of page
Search
Writer's pictureZaky Jaafar

Pemerkasaan Pendidikan Senibina Melalui Institusi Kerjaya.

Updated: Mar 10, 2021


Kolaj dari Ilustrasi majalah The Canadian Architect 1958

Pendidikan senibina untuk menghasilkan arkitek negara hari ini secara asasnya ialah merupakan kursus professional yang diajar di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT). Terdapat satu isu yang sering menjadi perdebatan: Adakah pendidikan senibina di universiti menyediakan tenaga mahir untuk profesion arkitek ATAU adakah ianya menyediakan pemikir dan pengkarya senibina yang membawa perubahan dan kemajuan kepada profesion arkitek itu sendiri dan masyarakat seacara amnya. Sebenarnya kedua2nya perlu, tetapi pada pemerhatian saya terdapat krisis di pengajian tinggi yang menyebabkan kedua2nya tidak berlaku. Terdapat rungutan bahawa pelajar senibina di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tidak menjadi tenaga kerja yang mahir, dan pada masa yang sama, tidak menjadi insan kreatif yang mampu menjadi ajen perubahan positif dalam industri dan masyarakat.

Penulisan ini mencadangkan isu ini dinilai semula dan suatu saranan pendekatan pendidikan senibina yang baharu akan diutarakan. Untuk memulakan perbincangan ini, pembaca perlu memahami kerangka pendidikan senibina yang sedia ada di negara kita.


Kursus senibina ditawarkan di IPT di Malaysia dan dikawalselia oleh Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) di bawah Majlis Pengajian Senibina (MAPS). Ini memastikan kursus2 ini relevan dengan keperluan semasa profesion arkitek. Semasa di dalam pengajian senibina, terdapat kursus berasaskan studio rekabentuk yang menjadi makmal simulasi proses rekabentuk di dalam industri. Ini yang menjadikan kursus senibina menjadi panjang. Kursus-kursus studio rekabentuk ini bersifat project based learning. Ianya proses pembelajaran yang panjang sehingga mengambil masa 10-12 jam seminggu sepanjang 5 tahun pengajian. Untuk menjadikan simulasi ini lebih realistik, tenaga pengajar dari kalangan arkitek professional juga dijemput menjadi tutor di dalam studio ini. Ini persediaan yang cukup bagus bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran asas apabila bekerja di industri. Tidak cukup dengan ini untuk menjadi tenaga professional yang mahir, pelajar calon arkitek perlu memahami selok belok industri dari segi amalan semasa; proses rekabentuk, perundangan, kejuruteraan, pengurusan, jaringan, kewangan dll. Untuk memahami perkara2 amali ini pula memerlukan pengalaman yang luas dalam pekerjaan sendiri. Biasanya di IPT, ini diterapkan dengan menyediakan sesi Latihan Industri (LI) yang mana pelajar akan bekerja sebagai perantis di sesebuah syarikat professional dan dipantau oleh pensyarah. Biasanya ini akan mengambil masa 3 sehingga 6 bulan. Selebihnya, di sepanjang masa 5 tahun pelajar akan menghadiri kursus sepenuh masa di IPT. Ini diakui tidak cukup, oleh itu untuk menjadi arkitek professional, pelajar pelu pula melalui pengalaman industri selama setahun bekerja dibawah seorang arkitek professional yang melayakkan dia menduduki peperiksaan professional pula.


Namun sering kedengaran apabila selesai bergraduat, majikan bahkan graduan sendiri menyatakan seakan2 graduan harus belajar dari mula apabila masuk ke alam pekerjaan di industri senibina. Jadi apakah yang dipelajari sepanjang 5 tahun tersebut sebenarnya tidak cukup? Timbul pula persoalan, berbaloikah dengan masa, tenaga dan wang ringgit yang dicurahkan selama 5 tahun itu? tambahan pula, seorang graduan menghabiskan 5 tahun tahun masa hidupnya tanpa dapat menjana pendapatan, bahkan (seandainya tiada biasiswa) mengumpul hutang (PTPTN dll.) atau menghabiskan simpanan ibubapa selama waktu itu ? Apa yang dipelajari di universiti selama 5 tahun ?


Pada pendapat saya, sebenarnya pengajian di universiti mempunyai nilai tambah yang sangat penting. Sebuah universiti sepatutnya menghasilkan graduan yang mempunyai sifat bebas, berintegriti, kreatif, berpandangan luas, pandai menilai, dinamik, bertanggungjawab, berempati dan bersimpati terhadap masyarakat dan alam. Ini boleh disimpulkan dengan ungkapan 'universal man' atau 'insan kamil'* yang menjadi objektif penubuhan universiti (sekurang2nya sebelum era moden). Namun pada hemat saya, terdapat kegagalan dalam sistem pendidikan senibina yang ada sekarang di IPT. Terdapat kekaburan dari segi objektif ini sebagai matlamat pengajian di universiti. Ia tidak lagi menjadi tempat menghasilkan universal man atau insan kamil ini. Apa yang terjadi ialah sebaliknya universiti telah dijadikan kilang untuk menghasilkan 'sumber manusia' iaitu manusia yang mempunyai skil-skil tertentu yang berguna untuk industri. Dengan kata lain, universiti menjadi tempat penghasilan ejen ekonomi. Istilah sumber manusia ini sangat berkait rapat dengan paradigm kapitalis liar, yang mana semua perkara dinilai sebagai sumber (contohnya sumber alam, sumber kewangan dll. untuk dijadikan input dalam pengiraan kos sesuatu perniagaan) yang menjadi model ekonomi dunia sekarang ini.


Disinilah berlaku kejanggalan. Apabila kedua2 pihak (universiti dan Industri) yang sepatutnya memberi keseimbangan dalam pembentukan graduan, tidak berbuat sedemikian, sebaliknya kedua2nya menghala kepada suatu objektif sahaja, maka yang terjadi ialah penumpuan kepada penghasilan graduan yang berkiblatkan memenuhi keperluan ekonomi dan industri. Dengan kata lain menjadi ejen ekonomi yang mahir. Tidak jelas bagaimana universiti mampu menghasilkan graduan insan kamil (universal man) yang mempunyai ciri2 kebebasan berfikir, integriti, semangat sayangkan, negara, kemanusiaan dan alam. Sekiranya ada individu yang terhasil di dalam industri yang mahu dan mampu melakukan perubahan sebegini, ianya berlaku secara kebetulan dari pengalaman hidup individu itu sendiri, atau bernasib baik mendapat pensyarah yang memang mempunyai semangat menghasilkan insan dan bukan setakat tenaga mahir, atau dari pendidikan keluarga yang mementingkan nilai kemanusiaan yang kamil. Ia tidak menjadi perkara yang ditentukan oleh universiti itu sendiri.


Disini terdapat unsur psikosis dalam pengajian senibina. Pertamanya, seperti yang dibincangkan di atas, nilai tambah insan kamil (universal man) tidak berlaku di IPT, oleh kerana tumpuan kepada penghasilan ejen ekonomi. Yang keduanya, ironinya, kemahiran industri diajar oleh institusi yang tidak sepenuhnya berasaskan kehendak industri terkini. Kebanyakan pensyarah bukanlah merupakan pemain industri semasa, dan fokus mereka juga terbahagi kepada penyelidikan dan penerbitan disamping perkara2 lain.


Oleh itu terdapat keperluan untuk pendidikan senibina merubah paradigma sedia ada. Pertamanya, universiti harus memurnikan semula halatuju pendidikan tinggi. Ia harus kembali berfikir bagaimana menghasilkan insan kamil (universal man), yang mampu berjiwa bebas, berintegriti, kreatif, berempati pada insan dan alam, dan proaktif. Untuk itu, skop pengajian senibina universiti harus di fokuskan kepada kursus membangunkan keinsanan. Kursus seperti sejarah, falsafah, kemasyarakatan, politik, sains bangunan dan persekitaran , makroekonomi, teori dan sejarah rekabentuk dan lain2 kursus yang bersifat keilmuwan. Seandainya kursus ini ditawarkan dengan pensijilan secara kecil2an dalam bentuk microcredential, ia boleh diambil pada bila2 masa dalam karier sorang calon arkitek. Ini bermaksud, calon arkitek tidak perlu masuk universiti sepenuh masa.


Jadi persoalannya, dimanakah mereka akan belajar kemahiran industri? Jawapan yang logik ialah di industri itu sendiri. Calon akan melibatkan diri dengan pengalaman industri dengan bekerja di syarikat arkitek profesional. Bermula dari hari pertama, segala pengalaman bermula dari bawah. Segala kemahiran asas seorang arkitek, lukisan teknik, lukisan persembahan, penggunaan multimedia boleh diambil secara microlearning bila diperlukan. Bahkan sijil asas kemahiran ini juga boleh ditawarkan secara microcredential di universiti. Sebenarnya cara ini bukanlah baharu bagi profesion arkitek. disepanjang sejarah senibina, pembelajaran seorang arkitek profesional ialah melalui sistem perantis, iaitu calon arkitek bekerja dibawah seorang mentor professional yang akan berkongsi ilmu yang perlu dalam menjalankan pekerjaan. Hanya sejak 150 tahun kebelakangan senibina menjadi kursus sepenuh masa di universiti.


Idea untuk memindahkan pengalaman pembelajaran kepada pengalaman industri merupakan suatu idea yang telah mula mendapat tempat walaupun masih baharu. Cadangan yang digagaskan di sini mempunyai implikasi positif dari segi kewangan pelajar itu sendiri. Mereka telah boleh mendapat pendapatan dari hari pertama mereka belajar. Mungkin dari awal, cuma sebagai pembantu pelukis pelan, atau pelukis persembahan, dan mula diberi tanggungjawab berkembang mengikut kemampuan (keperluan semasa, dan kemampuan kewangan) masing2. Mereka sendiri akan memilih kursus dan kemahiran yang perlu melalui sistem microcredential yang boleh ditawarkan oleh mana2 institusi yang diiktiraf modulnya. Atau diwujudkan suatu akademi atau sekolah yang menyediakan sijil asas yang boleh diambil dalam setahun atau dua tahun. seterusnya pelajar menyertai sistem perantis bekerja di industri. Dan untuk mendapat ijazah penuh, sistem microcredential ini boleh diiktiraf dengan penganugerahan lencana digital (digital badges) yang dikumpul dari berbagai kursus microcredential oleh mana2 universiti yang bersedia menjadi pemain sistem ini. Ini telah pun berlaku di Korea Selatan dimana mereka mempunyai bank kursus mikro yang boleh diambil dan dikumpulkan untuk mencukupkan keperluan menerima ijazah dari universiti2 yang bekerjasama dengan sistem lencana digital ini.


Disini terdapat keperluan mewujudkan akademi dan institut professional yang khas untuk mengajar kemahiran asas secara microcredential. Bahkan akademi professional juga boleh menyediakan sistem pendaftaran dan penilaian berterusan untuk pelajar tanpa mengira umur dan kelayakan sedia ada. Ini bermakna pensyarah senibina yang ada di universiti sekarang masih diperlukan untuk akademi dan intitusi ini. Bahkan mungkin pendapatan yang boleh diperolehi adalah lumayan seandainya mereka mahir mengendalikan modul2 sendiri yang diiktiraf oleh akademi dan menjadi tumpuan pelajar yang sedia membayar untuk modul2 mereka. Dengan pengalaman pengajaran online yang berkembang semasa era pandemik ini, pensyarah boleh memberi syarahan kepada ratusan pelajar dari serata dunia secara online dan secara non synchronised. Oleh itu potensi pendapatan berlipat kali ganda adalah tidak mustahil.

 

* terdapat sedikit perbezaan antara kedua definisi ini namun untuk maksud artikel ini keduanya boleh diguna untuk maksud yang sama.






102 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page