top of page
Search
  • Writer's pictureZaky Jaafar

Keperluan Anjakan Paradigma dalam Pendidikan Senibina

Updated: Oct 2, 2023


Sumber foto: dezeen.com

Artikel ini adalah diambil dari teks ucaptama yang diberi oleh Dr Zaky Jaafar di dalam Persidangan Pendidikan Kejuruteraan dan Alam bina, PeKA 2023, 26hb September 2023 di Akademi Siber Teknopolis, Universiti Kebangsaan Malaysia.



ANJAKAN PARADIGMA DALAM PENDIDIKAN SENIBINA MENDATANG

Oleh Prof Madya Dr Mohamad Fakri Zaky bin Jaafar


Abstrak

Pendidikan Senibina telah berada di dalam lingkungan universiti sejak awal kurun ke 20. Sebelum itu, ianya merupakan pendidikan secara perantis atau pun vokasional. Isu yang timbul masa kini ialah dengan pergerakan teknologi dan sosial yang sangat pesat, pendidikan universiti secara amnya tidak lagi dilihat mampu menyediakan graduan yang kompeten untuk industri. Beberapa faktor yang menjadi punca kemelut ini dibincangkan. Keperluan memperolehi pengalaman nyata memerlukan pendekatan pendidikan didalam dan bersama industri yang lebih menyeluruh. Generasi baharu juga memerlukan pendidikan yang fleksibel, dinamik dan boleh disesuaikan mengikut keperluan unik pembinaan kemahiran individu. Ini membayangkan perlunya pendekatan mikrocredential di terapkan di dalam sistem pendidikan tinggi. Selain dari itu paradigma pendidikan tinggi yang berteraskan pandangan mekanistik menimbulkan krisis sistemik di dalam pedagogi, penyelidikan dan pengurusan universiti. Lebih kritikal, pendekatan ini juga menimbulkan krisis epistemologi yang kini dikenalpasti sebagai punca krisis tamadun moden yang harus dikaji semula. Untuk menangani krisis ini, perubahan pragmatik, walaupun kelihatan drastik, tidak lagi cukup, bahkan ia memerlukan anjakan paradigma yang menyeluruh.


Teks Ucapan


Terima kasih kepada moderator, pengacara majlis dan pengerusi persidangan di atas peluang ini. Saya ingin berkongsi suatu perkembangan yang menarik baru2 ini. Suatu firma arkitek telah menjemput sekumpulan ahli akademik untuk mencadangkan program Senibina LAM Bah. 2 dilaksanakan di industri. Ianya suatu yang baharu dan menarik. Namun ada suatu perkara yang penting saya ingin kongsikan. Apabila saya suarakan soalan kepada mereka, adakah pendidikan di Universiti tidak lagi berupaya menyediakan tenaga mahir yang sedia untuk industri? Jawabnya ya. Mereka juga mengatakan majoriti graduan yang mula memasuki industri perlu dilatih semula selok belok amalan industri. Kadangkala ia mengambil masa bertahun.


Maka timbul persoalan, mengapa jadi begini? Pendidikan di universiti selama 5 tahun bukanlah sesuatu yang murah, dan ia bukanlah masa yang pendek. Kritikan sebegini, jika benar, perlu diperhalusi. Dan perlu kita melihat semula apakah yang berlaku.


Pendidikan Senibina di Universiti boleh dikatakan sebagai sesuatu yang baharu. Sehingga 1958, latihan senibina berlaku di akademi, sekolah2 teknik dan juga dengan konsep perantis di dalam atelier. Ia boleh difahami kerana kemahiran seorang arkitek bersifat amalan praktikal dalam dunia nyata. Selepas 1958, hampir semua latihan senibina dijalankan di universiti. Setelah hampir 65 tahun pendidikan senibina di jalankan di universiti, dimanakah kita sekarang?


Pada tahun 1958, di persidangan Oxford yang dianjurkan oleh RIBA dan universiti Oxford, 2 perkara pokok dijadikan resolusi:

1. Pewujudan satu standard pendidikan untuk senibina.

2. Pendidikan Senibina di ajar di Universiti.


Resolusi ini mendapat tentangan, terutamanya dari Alvin Boyarsky, pengerusi sekolah senibina Architectural Association (AA) ketika itu. Cadangan untuk mewujudkan AAIC, iaitu menyerapkan AA ke dalam Imperial College, akhirnya berkubur. Namun resolusi ini terus diangkat menjadi agenda pendidikan senibina selepasnya. Sejak itu, pendidikan senibina telah berubah. Apakah kesan dari perubahan ini? Setelah 50 tahun kemudian, persidangan ini diadakan pada kali kedua. Antara kenyataan pembukaan yang dilontarkan oleh Pengerusi Persidangan ini pada 2008, Susan Roaf:


“Persidangan 1958 secara berkesan mengenepikan kaedah penyampaian alternatif pendidikan seni bina dan menghapuskan, sebagai contoh, dengan pengklasifikasian sekolah yang 'tidak diiktiraf' di halang dari menwarkan program pendidikan senibina. 'Sekolah yang mempunyai kemudahan yang diikitiraf', mereka menulis, 'boleh berkembang dalam mana-mana institusi di mana bilangan calon yang munasabah hadir latihan sambilan dan petang.’ Tetapi keperluan untuk mendapatkan kelulusan RIBA antara lain perkara memastikan bahawa satu-satunya organisasi yang dilesenkan untuk menyediakan seni bina pendidikan di Universiti walaupun secara jarak jauh, pembelajaran masih diuruskan oleh RIBA sendiri. Adakah tempoh lima tahun penuh kursus masih relevan dalam ekonomi yang tidak menentu hari ini? Isu sebegini perlu difikirkan semula.”


Antara perkara yang paling jelas mutakhir ini seperti yang kita dengar awal tadi, adalah kenyataan bahawa pendidikan senibina kini tidak lagi menyediakan graduan yang kompeten dengan kemahiran yang diperlukan di industri. Kalau dilihat secara makro, masalah ini merupakan masalah umum yang dihadapi oleh mana2 juga profesion yang dilatih di universiti. Jadi dimanakah silapnya? Apabila pendidikan senibina mula di ambil alih oleh universiti, penerapan dinamisme industri berkurang dengan banyak. Ia lebih menjurus kepada pengetahuan tekstual dan teoretikal. Ilmu tekstual dan teoretikal adalah perlu, namun bukan untuk penyediaan ejen industri yang berkesan. Kemahiran praktikal dan yang lebih penting, dinamisme rentas disiplin, pemikiran holistik dan sistemik lebih kritikal di dalam industri. Disinilah peranan pengalaman industri, dibawah pengamal berpengalaman lebih utama.


Saya ingin mengutarakan pendapat berikut, terdapat dua kategori masalah pendidikan senibina di universiti. Yang pertama bersifat pragmatik, dan yang kedua bersifat paradigmatik.


Masalah pragmatik yang berlaku agak mudah ditelah dan dikenalpasti. Ianya adalah:


i) Masa – Generasi Z kini yang hidup di era VUCA mempunyai masa tumpuan yang terhad. Mereka hidup di dalam dunia yang terlalu cepat berubah, dan dengan limpahan data dan maklumat yang tidak pernah di alami tamadun manusia sebelumnya. Untuk menghabskan masa bertahun mendalami suatu ilmu yang ruang lingkupnya terhad kepada profesion yang spesifik sangat tidak menarik bagi mereka. Masakini, perubahan teknologi yang pesat menyebabkan perubahan sosioekonomi yang turut tidak terduga. Terlalu banyak pekerjaan, bidang yang telah berubah, baharu muncul atau telah terhapus sama sekali. Meletakkan diri untuk beberapa tahun di dalam sesuatu skop kemahiran yang khusus adalah tindakan berisiko tinggi. Kaedah pengajian senibina di universiti masih lagi mewajibkan siswazah meletakkan diri dalam suatu progam berkurikulum selama 5 tahun. Ini perlu difikirkan semula. Kita perhatikan generasi baharu ini telah mula mengamalkan slash culture, iatu mereka mendefinisikan diri mereka lebih dari satu profesion. Seorang graduan arkitek mungkin pada masa yang sama berminat menceburi bidang fotografi, pengacaraan majlis, perfileman, penulisan, dsb. Adakalanya identiti profesion sampingan ini menjadi lebih utama. Budaya ini lebih sesuai di dalam dunia masakini yang sangat dinamik dan versatil. Oleh itu memerangkap diri dalam suatu program selama bertahun2 sangatlah tidak menarik bagi generasi ini.

ii) Pengalaman - Aktiviti universiti lebih terfokus kepada dunia akademia, Pendidikan universiti masakini berupakan buih pengalaman yang terpisah dari dunia sebenar. Sepanjang pengajian, siswazah akan hanya terdedah kepada pensyarah dan lebih banyak bersama rakan sebaya. Ini menyebabkan peluang untuk belajar dari pengalaman mereka yang telah lama berkecimpung terhad. Tidak seperti di dalam industri, dimana pelatih akan mendapat faedah dengan perkongsian pengalaman dari senior dan pakar. Jenis projek yang dipelajari di universiti juga merupakan hanya simulasi dunia sebenar, tidak bergantung kepada dinamika industri yang sangat berbeza dan berubah2.

iii) Kurikulum – Kaedah penggubalan kurikulum di universiti adalah sangat remeh, panjang, mekanistik dan yang paling kritikal ia bersifat redaksionis. Nilai ilmu dipecahkan kepada skop kecil yang berbeza, masing2 dianggap mempunyai sempadan tersendiri dan tidak bercampur antara satu sama lain. Pensyarah yang mahir dengan struktur tidak akan menyentuh teori, sejarah ataupun kos binaan di dalam pengajaran mereka. Sedangkan setiap keputusan profesional di dalam industri perlu dibuat dengan menggabungkan keseluruhan pengetahuan yang saling berkait. Proses integrasi ilmu ini tiada di universiti. Menjadikan ia tempat yang janggal untuk melatih kemahiran industri. Yang keduanya, kurikulum dibentuk berdasarkan konsep Norm reference yang berbeza dari criterion referenced. Ini paling ketara dengan pendekatan Outcome Based Education, dimana outcome ditentukan oelh segolongan pilihan yang dianggap mempunyai visi yang tepat tentang dunia dan kehendak pasaran akan datang. Selain dari bersifat redaksionis, OBE juga menyebabkan pembinaan kurikulum menjadi mekanistik dengan kaedah mapping yang menganggap manusia ini adalah satu jam mekanikal yang tindakbalasnya boleh dijangka dengan tepat. Ini adakalanya menimbulkan kesan psikosis pada pembelajaran. Apabila masa yang diambil terlalu panjang, kandungannya menjadi agak lembab untuk bertindakbalas dengan dinamika dunia nyata yang semakin hari semakin pantas berubah. Bayangkan Outcome pilihan ini akan menjadi tunjang kurikulum. Setiap satu kurikulum kini mengambil masa bertahun untuk diluluskan untuk menepati kriteria OBE dan mekanisma pemetaannya. Ia akan terpakai sehingga lima tahun. Sedangkan outcome itu sendiri pula mungkin telah ditetapkan bertahun sebelum itu. Oleh itu diakhir jangka hayatnya, kurikulum itu telahpun menjadi basi sekurang2nya 5 tahun. Belum lagi kita persoalkan siapakah yang menentukan setiap outcome tersebut? Tentulah generasi terdahulu yang datang sebelum era VUCA, yang menganggap dunia ini boleh diramal dan tidak berubah. Yang pasti ianya adalah norm reference yang mengambil norma semasa ketika ia digubal. Namun, norma semasa juga semakin cepat berubah, dan bukannya dalam kitaran 5 tahun, bahkan mungkin hampir setiap tahun. Tidak hairanlah sering terdengar rungutan graduan unviersiti tidak bersedia untuk industri dan terpaksa dilatih semula. Selain itu, konsep asas OBE ialah setiap graduan akan menepati acuan outcome yang telah ditentukan oleh kelompok kecil tanpa mengira kepelbagaian insan yang ada dan kebolehan unik masing2. Tidak kira apa kemampuan, kecenderungan, kelebihan atau kekurangan insan yang masuk ke dalam sistem pendidikan itu, yang pasti mereka dikehendaki keluar dengan acuan kualiti yang telah ditentukan awal lagi.


iv) Tenaga Pengajar. Ini juga menjadi krisis yang terang lagi bersuluh. Pensyarah universiti dilatih untuk menjadi penyelidik dan ilmuwan yang skopnya khusus dan mendalam. Untuk mendapatkan PhD mereka telah menghabiskan masa bertahun meneliti suatu aspek kecil di dalam bidang alam bina. Kemahiran industri yang mereka perolehi mungkin adalah pengalaman yang pernah mereka lalui bertahun dahulu sebelum terjun ke bidang akademia. Bahkan masakini kebanyakan pemegang phD mungkin idak pernah berada di industri secara langsung. Oleh itu proses pengajaran, penggubalan kurikulum dan pengurusan pembelajaran dibuat oleh bukan pemain industri atau orang yang telah lama tidak berkecimpung dalam industri. Mengharapkan Ilmuwan Universiti mengajar kemahiran professional boleh diibaratkan menyuruh tukang jahit mengajar ilmu memasak.


v) Keperluan Akreditasi – Di universiti, akreditasi mempunyai dua lapisan kawalan, iaitu MQA dan MAPS, walaupun sering di katakan hanya satu yang digunapakai iaitu akreditasi lembaga professional MAPS. Oleh kerana mungkin kagum atau terkesan dengan kecanggihan pemetaan OBE yang saintifik di dalam standard MQA, terdapat kecenderungan untuk meletakkan kerangka mapping OBE ini didalam akreditasi Lembaga. Lalu masalah dan krisis paradigmatik yang akan saya bentangkan selepas ini mula menjalar dan mengubah paradigma akreditasi lembaga. Satu lagi Masalah akreditasi ialah ia berasaskan suatu manual yang tidak mudah diubah. Di dalam era VUCA dimana dinamika profession dan industri berubah sangat cepat, perubahan di dalam garispanduan akreditasi tidak semestinya secepat itu dan adakalanya ia menjadi batu penghalang. Tanpa menafikan pentingnya proses akreditasi, perhatian harus diberi kepada penerapan dinamika yang responsif diletakkan sebagai asas pembinaan garispanduan akreditasi.



Manakala masalah paradigmatik pendidikan senibina di universiti pula lebih mendalam, bersifat dasar dan lebih kritikal untuk ditangani:


i) Kecelaruan Universiti – Universiti kini mengalami krisis, yang mungkin tidak disedari oleh universiti sendiri. Pertamanya misi universiti, mengikut keutamaan:

  1. Peningkat Kerohanian

  2. Sumber kebijaksanaan

  3. Sumber ilmu dan maklumat

  4. Telaga untuk idea dan ideologi baharu

  5. Kilang produk dan teknoloji baharu

  6. Kilang menghasilkan ejen ekonomi (pekerja mahir)

Namun kini universiti, pada hemat saya, hanya berfungsi menjadi kilang pengeluar ejen ekonomi, tenaga mahir untuk pasaran pekerjaan. Dari segi teknologi baharu, tiada yang dapat kita banggakan sejak 30 tahun dahulu. Hampir segala teknologi inovasi baharu yang kita gunakan adalah dari luar. Dari segi idea dan ideologi baharu, tiada idea baharu yang dapat ditimbulkan samada dari segi falsafah, teknologi, ekonomi mahupun sistem pentadbiran. Dari segi ilmu, apa yang dikumpulkan kini hanyalah maklumat tanpa ilmu. Dari segi kebijaksanaan, kita ketandusan bijak pandai, yang bermanfaat kepada masyarakat. Lihat sahaja keadaan masyarakat, tahap ekonomi, kecelaruan polisi negara, krisis pendidikan, kos sarahidup, kos perumahan, hampir setiap hari menjadi bahan rungutan. Yang paling penting, bila tidak ada impak kerohanian, kita lihat jurang kemiskinan, tahap rasuah, tiada perpaduan sebagai bukti kegersangan aspek ini.


ii) Pendekatan pengajaran di universiti adalah bersifat berderai (fragmented), sedangkan kemahiran profesional yang perlu bagi seorang arkitek adalah kemahiran merentas disiplin. Kecenderungan fragmentasi, pemikiran silo, boleh dikatakan paradigma kegemaran universiti masakini. Ia boleh diringkaskan sebagai penganutan falsafah redaksionisme, dimana fenomena dipecahkan kepada komponen2 berasingan dan diselesaikan secara berasingan. Kepakaran dan subjek dileraikan di antara teknologi, ekonomi, kemanusiaan, yang masing2nya mempunyai penekanan dan pentaksiran yang berbeza2. Ini dikenalpasti masakini sebagai krisis epistemologi yang menimbulkan berbagai masalah moden yang kita lihat masakini. Kelebihan Problem based Learning atau Project Based Learning yang menjadi teras pendidikan studio rekabentuk juga mula terkesan dengan kecenderungan redaksionisme ini. Kritikan saya kepada pengambilan paradigma redaksionisme melampau ini agak panjang tapi boleh saya rumuskan sebegini. Redaksionisme diminati kerana ia lebih mudah. Tidak memerlukan kelincahan intelektual yang tinggi. Apabila sesuatu fenomena dipecahkan kepada material komponen yang kecil dan boleh diukur, ia menjadi mudah. Sarjana yang handal dalam mebicarakan soal yang kecil tetapi sangat mendalam akan terlihat sebagai wira ilmuwan. Manakala perkara metafisik akan mula terpinggir dari pendidikan. Lebih mudah melaporkan tinggi, berat, kadar metabolisme seorang murid berbanding apabila diminta menilai semangat, sikap, jatidiri, keikhlasan seorang murid. Begitu juga lebih mudah menilai rekabentuk bangunan dari segi saiz, guna tenaga, kos, berbanding menilai impak bangunan keatas kemanusiaan atau nilai estetika, ketamadunan dan sebagainya.

iii) Berkait dengan isu diatas. Perletakkan pendidikan senibina di universiti telah mula mengikis keunikan nilai epistemologi senibina. Mungkin ia boleh dikesan berpunca dari keputusan 1958 meletakkan pendidikan senibina di bawah universiti. Kita perlu sedar, sesuatu yang unik dalam bidang pengajian senibina yang tidak disedari ialah kemahiran berfikir merentas domain. Kalau masa kini, bidang lain mula bercakap tentang system thinking, holistic thinking, design thinking, sedangkan hal ini merupakan intipati pengajian senibina selama ini. Di dalam sesuatu projek, pelajar senibina harus menggabungkan kefahaman teknologi, sejarah, sosiologi, falsafah, ekonomi dll dan memanifestasikannya di dalam sebuah bangunan. Kita sering mendengar pendekatan systems thinking yang mula diperkenalkan di pada tahun 60an. Salah seorang perintis pendekatan ini ialah Russel Ackoff, seorang pemikir yang dilatih di dalam bidang senibina. Pada masakini ia mula dikenalpastti sebagai konsep yang mampu menyelesaikan krisis pemikiran moden. Iaitu kebolehan mencari penyelesaian dengan menggabungkan berbagai aspek dan disiplin. Manakala Stanford Design School ppula mempelopori konsep Design Thinking yang mirip pedagogi studio senibina, Ini adalah keunikan dan kelebihan pendidikan senibina. Namun ada sesuatu yang berlaku menyebabkan keunikan ini mula terhakis. Kebolehan ini kini disedari semakin tandus di dalam lanskap epistemologi pendidikan tinggi masa sekarang. Seperti saya katakan tadi, kaedah redaksionisme telah menjadi akar umbi pendidikan masakini yang kini dikenalpasti sebagai masalah epistemologi yang menyebabkan kerosakan tamadun. Prof Iaian McGilchrist pula melihat dari perspektif sains neuro dan meletakkan masalah ini sebagai krisis dominasi otak kiri ke atas otak kanan. Kemampuan berfikir secara waras, berpandangan jauh, seimbang, semakin terhaskis dengan ketaksuban dan dominasi otak kiri.

iv) Rentetan dari ketaksuban redaksionisme/otak kiri ini juga, menjadikan universiti lebih mirip kepada kilang penghasilan barang. Kekaguman kepada kaedah saintifik yang berlebihan menyebabkan konsep Taylorism yang diamalkan di dalam kilang industri pembuatan diguna pakai di universiti. Setiap tugasan dipecahkan kepada metrik yang boleh dikira bagi mengingkatkan kecekapan. Sumbangan ilmuwan di kira berdasarkan metrik output yang seolah2 boleh dipulas secara mekanikal untuk mendapatkan prestasi tertinggi. Kini metrik ini diterjemahkan di dalam bentuk kuantitatif yang boleh dimanipulasi untuk mendapat prestasi terbaik. Jumlah penerbitan, indeks sitasi, impact factor, indeks H, jumlah geran, bilangan harta intelek, semuanya menjadi tombol pemacu untuk pentadbiran universiti menaikkan prestasi universiti. Akibatnya, makna ataupun impak setiap kriteria tersebut menjadi perkara kedua, atau tidak menjadi pertimbangan langsung.

v) Penggunaan kaedah OBE yang berteraskan pembaraian Bloom di dalam pendidikan merupakan masalah paradigma yang amat sukar dirungkai. Ia adalah manifetasi pemikiran redaksionisme yang menganggap manusia boleh dibaraikan pada aspek2 tertentu dan sekiranya dibaja setiap satunya secara berasingan, maka insan kamil atau orang bijak dan baik akan terhasil. Dalam setiap projek senibina, ketiga2 domain, bahkan banyak lagi perlu ada ditahap sintesis. Ini tidak boleh diterima dalam kerangka mekanistik OBE/Bloom. Kita perlu menyedari masalah dari pemikiran sebegini. Russel Ackoff memberi analogi berikut yang menarik: Kita boleh ambil beberapa model kereta terbaik di dunia, dan kita nilaikan secara berasingan kepada sistem enjin, sistem suspension, sistem brek dsb. Cuba kita ambil sistem brek yang terbaik, contohnya dari volvo, suspension terbaik, dari citroen, sistem pembakaran dari BMW contohnnya. Kita ambil bahagain2 terbaik dari model berbeza ini dan cantumkan jadi sebuah kereta, ia tidak akan jadi kereta terbaik, bahkan ia banyak masalah. Begitulah yang terjadi di dalam sistem pendidikan yang berasaskan kerangka redaksionisme. Oleh itu suatu paradigma lain perlu dicari, untuk menggantikan perkakas yang usang dan bermasalah ini. Ini memerlukan keberanian untuk berfikir semula, dan belajar semula. Teringat saya kisah sekumpulan ahli bomba yang ditugaskan memadamkan kebakaran hutan, di saat api tidak terkawal, mereka yang mampu berfikir diluar skop biasa, iaitu menanggalkan semua peralatan yang berat dan berlari cepat ke tempat selamat akan selamat. Manakala mereka yang sentiasa memikirkan bahawa peralatan yang mereka bawa itulah kaedah memadamkan kebakaran terbaik, akhirnya tewas di dalam api kerana beratnya peralatan yang cuba dikendong semasa lari. Seandainya kita tidak dapat meninggalkan fahaman ajaran dan proses yang bermasalah, sistem pendidikan kita mungkin menghadapi masalah yang sama.


Peranan Unviersiti?


Oleh kerana kacanggungan yang sebegini, maka pendidikan universiti telah menjadi sesuatu yang semakin dirasakan tidak perlu. Di AS, sesetengah insititusi kerajaannya telah menerima hakikat bahawa segulung ijazah bukan lagi syarat untuk mendapat jawatan tinggi. Di pihak swasta, seperti Google, Apple Microsoft dll, mereka telah mula menawarkan program kemahiran yang lebih dinamik, tanpa memerlukan skop pengajian universiti untuk menyertai organisasi mereka hatta hingga ke peringkat eksekutif pun. Profesion perakaunan telah mula menawarkan persijilan profesional tanpa memerlukan segulung ijazah. Ini di Malaysia sendiri.


Oleh kerana perbicaraan saya setakat ini hanya menumpukan betapa tidak sesuainya universiti dalam keadaan sekarang menggalas beban menyediakan tenaga kerja untuk profession, maka timbul persoalan, apa gunanya universiti? Di sini ingin saya bahaskan persoalan ini.


Dari segi asasnya, saya berpegang kepada prinsip asas penubuhan iuniversiti, sebelum ia menjadi kilang sumber manusia untuk pasaran ekonomi. Iaitu ia bertanggungjawab menghasilkan insan yang bijaksana dan baik (Kalos K’agathos). Dalam Islam mungkin ditakrifkan sebagai insan kamil (the perfect man). Ini adalah tanggungjawab asas dari awal penubuhan universiti sekiranya kita menyulusuri sejarahnya dari zaman yunani lagi. Kalau dahulu, universiti Islam bermatlamat menghasilkan ilmuwan yang mampu membawa masyarakat kearah kemajuan duniawi dan ukhrawi, ia masih lagi relevan sekarang. Kita perlukan arkitek ya, tapi arkitek yang bagaimana? Selain dari kemahiran profesional yang kita telah hujahkan bahawa ia diluar kesesuaian universiti, arkitek yang dihasilkan perlu kualiti metafisik yang sukar dimanifetasikan di dalam industri. Berfikiran Kritis dan terbuka, kreatif, bersemangat, berempati, berani meneroka dan bereksperimen, bertanggungjawab, berpandangan jauh dan luas, kreatif dan analitikal, berfikiran strategik, berdaya tahan, dan lain2 sifat keinsanan yang jatuh dalam takrifan bijaksana dan baik.


Kualiti seperti ini sangat sesuai dibangunkan di dalam universiti tetapi dengan kaedah yang bagaimana? Kalau dilihat bidang ilmu asas yang menjadi dasar penubuhan institusi ilmu sejak dahulu, ilmu2 asas seperti falsafah, sains, bahasa, matematik, seni, sejarah, geografi, geometri masih lagi penting. Ilmu sebegini mampu menghasilkan kualiti yang dihajatkan di atas. Malangnya ia mula kucar kacir apabila tiba era kapitalisme yang menculik domain ilmu, ilmu yang bersifat kemahiran vokasional dan profesion menjadi taruhan.


Satu lagi peranan Universiti yang penting bagi industri ialah penyelidikan. Bidang industri pembinaan sangat memerlukan pembaharuan teknologi bagi memastikan penghasilan bangunan adalah cekap bahan, cekap tenaga, selamat dan lestari. Tidak ada pihak industri yang mempunyai sumber kewangan mahupun ilmu yang mampu meneroka pemnyelidikan bersendirian. Disinilah kepentingan universiti. Penyelidikan di dalam bidang kemanusiaan juga memerlukan sebuah entiti yang bergelar universiti. Isu kemanusiaan, keselesaan, rumah mampu milik, kesejahteraan penghuni bangunan dan penduduk bandar, isu sosioekonomi dsb, ini memerlukan penyelidikan yang bukan murah. Inilah peranan universiti.


Namun dalam aspek ini perlu disentuh, mengapa penyelidikan univrsiti di negara ini seakan2 tidak menyumbang2 apa2 kemajuan dalam disiplin alam bina. Sehingga kini tidak kelihatan penyelidikan di universiti bertaraf dunia di negara ini menawarkan solusi yang ampuh untuk menangani maslah2 ini. Maka di sini juga isunya boleh dikembalikan kepada masalah pragmatic dan paradigmatic tadi. Ini memerlukan suatu perbincangan yang panjang yang mungkin tidak sesuai bagi skop persidangan ini. Cukuplah kalau kita ulang semula bahawa pendekatan redaksionisme menjadikan penyelidikan universiti bersifat berderai, tiada penyatuan, tiada pendekatan menyeluruh. Terlalu banyak kertas2 penyelidikan membahaskan fenoemena khusus yang terlalu berfokuskan skop yang kecil walaupun mendalam. Ianya kadang kala tidak berpijak di bumi nyata. Disebalik sorakan pencapaian ranking universiti dan metrik pengukuran yang melonjak sentiasa, tiada perubahan dilihat dari segi kesan sebenar kepada dunia nyata. Isu rumah mampu milik masih meruncing, isu pejalan kaki, bandar selamat, kecekapan guna tenaga masih tiada perubahan yang ketara. Inovasi teknologi pembinaan, masih lagi hampir semuanya adalah diimport dari luar. Di sini cukup saya ulangi bahawa anjakan paradigma pada peringkat epsitomologi perlu di perjuangkan.


Intelektual Psikosis

Dari perbincangan di atas kita lihat, universiti seolah2 berada di dalam dilema. Adakah ia penyedia tenaga dan askar ekonomi untuk industri? Atau adalah ia menjuarai penerokaan ilmu baharu yang boleh membantu masyarakat? Buat masa2 ini unviersiti diberi ke dua dua tanggungjawab ini dan yang jelas, kedua dua skop ini tidak menghasilkan impak yang dihajati. Yang mampu ditaksirkan hanyalah paparan metrik pencapaian kuantitatif yang dicanangkan tanpa mempunyai makna yang sebenar. Mungkin dari segi jumlah graduan, employabilitiy, kebolehpasaran boleh diukur. Tetapi nilai tambah kepada industri dan impak kepada masyarakat masih boleh dipersoalkan.


Melihat ke hadapan

Cukuplah perbahasan saya sehingga kini menjurus kepada isu dan masalah. Lalu untuk melangkah kehadapan apakah yang perlu kita lakutkan. Disini, berdasarkan perbahasan yang saya bentangkan, maka beberapa langkah boleh mula dicadangkan:


a) Anjakan paradigma adalah perlu. Bukan hanya penyelesaian pragmatik. Perubahan praradigma perlu diusahakan terlebih dahulu. pemikiran holistik, design thinking dan system thinking perlu di terapkan di dalam pendidikan tinggi. Anjakan dari pemikiran berteraskan redaksionisme kepada pemikiran holistik. dalam hal ini, ilmuwan dan universitilah yang mampu dan bertanggungjawab mengupas dan memperbaiki isu ini.

b) Pendidikan masa hadapan perlu diaturkan dalam bentuk kecil yang lebih pendek, anjal, luwes dan sangat dinamik. Ia perlukan kebebasan untuk berubah menjadi ssuatu yang baharu dengan cepat. Ia harus responsif dengan kehendak generasi Z yang memerlukan pendekatan bespoke, pengetahuan dan kemahiran hanya yang perlu dan hanya bila waktu diperlukan. Ini menjurus kepada pendekatan mikrocredential yang membolehkan pelajar memilih apa juga skop ilmu yang sesuai dengan kehendak hidupnya, nilai hidupnya dan kemampuan dirinya yang berbeza dari masa ke semasa.

c) Kaedah microcredential perlu dimanfaatkan sepenuhnya, dimana pelajar boleh mengambil modul2 kecil yang sesuai dengan kehendak tertentu pada masa tertentu. Dengan modul yang bersifat non synchronous online microcredential, Mereka boleh bekerja dan mengambil modul secara online pada bila2 masa yang sesuai. Ada dua kelebihan pendekatan ini. Pertamanya, pendidikan merka adalah semasa mereka berada di dalam industri dan memperolehi pengalman perantis dunia sebnar dari awal lagi. Yang kedua, mereka telah boleh mula membina pendapatan untuk menampung pembelajaran mereka sendiri. Pelajar tidak perlu mengasingkan diri dari dunia pekerjaan selama 5 tahun dan mengumpul hutang pendidikan. Di Universiti sendiri, kita telah mula bergerak kearah online dengan MOOC ODL dan sebagainya. Modul2 ini boleh dikumpulkan untuk penganugerahan ijazah. Kemungkinan besar di masa hadapan, hanya 20% masa pelajar diperlukan berada diuniversiti. Selainnya mereka menimba pengalaman dan menjana pendapatan semasa menjalani program pendidikan senibina. Kemungkinan masa mereka untuk mengumpukan kesemua modul untuk menjadi ijazah menjadi lebih panjang, tapi mereka akan menerimanya dengan lebih kefahaman, dan sesuai dengan keperluan dan kehendak semasa. Yang penting mereka boleh menjalaninya semasa berkerja, tanpa menimbun hutang pendidikan atau menampung kos yang tinggi tanpa ada pendapatan.


d) Untuk memnuhi kehendak profesion dan industri, pembelajaran di dalam industri harus diterapkan. Pendekatan 2U2i contohnya sangat bagus difokuskan. Ia telah mula diperkenalkan dan boleh ditambah baik untuk lebih berkesan. Untuk ini, kerjasama industri perlu digembelingkan. Modul pembelajaran semasa berada di industri, kaedah pentaksiran dan standard pemantauan perlu dibangunkan. Kemungkinan potensi untuk pengiktirafan LAM Bahagian 2 diletakkan di Industri perlu diteroka.

f) Pendekatan pengajaran secara redaksionistik, mekanistik perlu dihindarkan. Pendekatan berfokus kepada sifat keinsanan manusia yang mengiktiraf kepelbagaian kemampuan dan kepelbagaian kehendak manusia perlu dibangunkan. Kata kunci kemenjadian Manusia itu penting di Universiti. Dari segi ini kerangka pendekatan saintifik, mekanistik dalam membentuk manusia mempunyai kekangan dan masalah dan perlu dinilai semula. Di universiti, perkara yang perlu ditekankan ialah pembangunan metafisik insan itu sendiri, iaitu semangat, tanggungjawab, empati, seangat juang, kemampuan berfikir diluar kotak, kreatif dan berani perlu di tekankan. Bukan semata2 kemahiran khusus yang sering berubah dek kerana perubhan teknologi dan sosioekonomi era VUCA.

g) Kekangan yang diletakkan oleh kurikulum dan akreditasi, yang diharap mengekalkan kualiti dan kesusaian pendidikan, boleh menjadi penghalang kepada adaptasi pendidikan ini untuk menangani dunia mendatang. Tanpa menafikan perlunya akreditasi, proses akreditasi itu sendiri perlu mengambil prinsip2 keluwesan, keanjalan, dinamik, responsif dan transformatif. Ini syarat asas untuk sesuatu institusi mandiri dalam era VUCA.

h) Kemahiran Baharu – Optimisasi AI, Bridge Builders, Storytellers, Organisers. Kebolehan ini harus ditekankan. Kemampuan menjadi pencetus projek yang inovatif dan kreatif, bukan setakat menunggu projek dari sumber konvesnsional industri. Kemampuan membina naratif untuk mengenegahkan suatu projek ataupun produk Inovatif yang melihatsesuatu fenomena dari berbagai sudut dan berbilang disiplin.


Cadangan dan saranan di atas memerlukan lebih kajian dan harus diperhalusi lagi. CUkup buat masa ini hujah dan perbahasan yang boleh saya lontarkan.


Saya mengucapkan terima kasih di atas peluang memberi ucaptama di dalam persidangan ini. Diharapkan ia boleh diteruskan dengan membincangkan isu polisi, dasar dan falsafah dan tidak hanya tertumpu pada mekanisme perlaksanaan teknik penyampaian dan pengurusan ilmu.


Sekian, terima kasih.

110 views0 comments
bottom of page