top of page
Search
Writer's pictureZaky Jaafar

Tesis Studio Senibina: Apa yang dikaji?




Tesis studio senibina merupakan suatu pernyataan dalam projek akhir dalam pengajian senibina yang memerlukan penerokaan sesuatu ilmu itu pada tahap yang mendalam, atau dengan kata lain, memerlukan eksperimentasi ataupun penyelidikan. Ianya dilaksanakan di dalam kursus studio, iaitu ia mempunyai penyelesaian berbentuk sebuah projek rekabentuk senibina. Diperingkat awal kursus ini, ianya sering menjadi mimpi yang bercelaru bagi pelajar tahun akhir. Pada tahap sarjana, pelajar tidak diberi brif projek (kehendak projek) sebagaimana projek2 awal dalam pengajian mereka sebelum ini. Kini, mereka harus memilih isu dan membangunkan sendiri brif yang bakal menjadi tajuk projek akhir mereka.


Tesis secara definisinya merupakan suatu pernyataan yang perlu dibuktikan secara Ilmiah dan dialektik dalam menguji kebenaran, kekuatan dan kesahihannya. Kemampuan menghasilkan tesis yang baik menjadi simbol kematangan berfikir dan kesarjanaan bagi seorang graduan. Di dalam pengajian sarjana senibina, projek tesis merupakan kajian mendalam bagi sesuatu pernyataan yang dibuat di dalam bentuk sebuah projek rekabentuk senibina.


Dalam skop tesis studio senibina pula, ianya mempunyai beberapa keperluan khusus yang menjadikan ianya suatu penerokaan ilmiah bidang senibina. Seandainya suatu tesis itu berbentuk umum dan tidak dapat diterjemahkan di dalam suatu projek senibina, ia mungkin suatu tesis yang baik, tetapi ia bukanlah tesis senibina. Contohnya, persoalan:


"Apakah rumah orang2 tua yang sedia ada merupakan penyelesaian terbaik untuk keperluan semasa masyarakat?".


Ianya suatu pesoalan sosial yang menarik untuk diterokai, namun kebanyakan isu yang menjadi teras persoalan bukanlah senibina, tetapi lebih kepada gaya hidup, struktur sosioekonomi masyarakat, persoalan falsafah, pengurusan, kewangan, dan lain lain.


Persoalan di atas seandainya diubah kepada:


"Bagaimanakah merekabentuk perumahan untuk menerapkan generasi tua di dalam kawasan bandar moden?"


Kini ianya boleh menjadi suatu projek tesis senibina yang berpotensi untuk diselesaikan dengan menghasilkan suatu rekabentuk seperti cadangan kompleks bercampur ataupun sebuah taman perumahan.


Projek tesis pada dasarnya mempunyai elemen penerokaan dan penyelidikan. Dari suatu segi, ia mesti mempunyai persoalan yang perlukan jawapan. Seperti contoh diatas, penerokaan tesis dinyatakan dalam bentuk soalan.


Namun harus dinyatakan di sini, tidak semua persoalan penyelidikan senibina akan menjadi suatu tesis STUDIO yang baik. Sekarang elemen studio ini harus diperhatikan, yang akan diterangkan si sini. Studio, dalam pengajian senibina, merupakan konsep pembelajaran yang berasaskan rekabentuk senibina, dan setiap pelajar akan menghasilkan suatu rekabentuk bangunan lengkap yang perlu dinilai oleh pensyarah mahupun arkitek profesional yang dijemput oleh pensyarah sebagai juri. Biasanya studio ini dilaksanakan dengan proses tutorial secara bersemuka perseorangan, iaitu seorang pelajar dengan seorang pengajar studio. Sebab itulah studio rekabentuk biasanya mengambil masa 10 hingga 12 jam seminggu.


Kalau pada tahap sarjana muda, keperluan dan parameter projek (brif projek) akan diberikan oleh pensyarah dan harus dipenuhi oleh rekabentuk yang dikemukakan oleh setiap pelajar. Contohnya pensyarah akan memberikan tajuk bangunan, ruang yang diperlukan, tapak dimana ia perlu dibangunkan dan keperluan2 lain. Namun pada tahap sarjana, brif projek perlu dibangunkan oleh pelajar sendiri dan ianya mestilah mempunyai elemen tesis seperti yang dinyatakan di atas.


Berbalik kepada definisi tesis studio senibina, (tesis yang diterapkan di dalam suatu projek senibina - terma yang digunakan di sini sedikit berbeza dengan ungkapan studio tesis senibina- iaitu kursus studio untuk tesis senibina)


Tesis studio senibina, memerlukan pertamanya suatu tesis dalam penyelidikan senibina, keduanya ia memerlukan penyelesaian dalam suatu projek rekabentuk senibina. Untuk membezakan keduanya mari kita bincangkan di sini.


Kalau tadi kita telah membincangkan tesis senibina, contohnya persoalan ataupun pernyataan:


"Adakah konsep senibina moden bersumberkan prinsip yang tercetus dari revolusi industri di Eropah pada kurun ke 18?"


Kenyataan ini mempunyai ciri2 yang perlu untuk menjadikan ia suatu tesis dalam bidang senibina. Namun ia bukanlah suatu tesis STUDIO, kerana untuk meneroka kesahihan pernyataan ini, ia berkisar kepada sejarah dan falsafah modenisme, sosiologi, teknologi dan ekonomi dan tidak memerlukan manifestasi dalam bentuk suatu rekabentuk senibina.


Sebaliknya persoalan berikut:


"Apakah ciri2 senibina moden seandainya ia tidak bersumber dari cetusan revolusi industri eropah"


Ia berpotensi menjadi suatu tesis studio senibina kerana persoalan ini boleh diterjemahkan dalam bentuk pernyataan suatu projek senibina.


Namun di dalam Studio tesis senibina, biasanya persoalan itu di terjemahkan dalam bentuk pernyataan tajuk projek dan bukan bentuk persoalan di atas. Sebagai contoh, seorang pelajar yang meneroka persoalan di atas mungkin akan memilih suatu pembangunan bercampur dan tajuknya mungkin menjadi seperti berikut.


Pembangunan Bercampur Dengan Pendekatan Modenisme Alternatif di Bangsar, Kuala Lumpur.


Kini persoalan di atas diubah mejadi manifestasi tesis dalam bentuk sebuah projek senibina.


Sebagai penutup, untuk suatu tesis studio senibina, ia memerlukan,pertamanya suatu tesis. Keduanya ia mestilah berkait dengan bidang senibina. Ketiganya ia mestilah boleh diterjemahkan di dalam suatu projek studio senibina.


Semoga penerangan ini sedikit sebanyak memberi panduan kepada semua khususnya kepada pelajar2 senibina.


Zaky Jaafar, Oktober 2024.

71 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page