top of page
Search
Writer's pictureZaky Jaafar

TEKNIK NABC: TRANSFORMASI RUMAH SAMPAH KE DEWAN KOMUNITI

Idea dan Rekabentuk Pelajar UPM memberi nafas baharu kepada komuniti Pangsapuri Perumahan Awam Sri Sarawak

Oleh: Zaky Jaafar

Menurut kelaziman, Arkitek akan merekabentuk sesebuah bangunan menurut kehendak dan dengan belanjawan yang ditentukan oleh klien. Jarang sekali kita dengar ada arkitek yang membina bangunan tanpa diminta oleh klien dan tiada duit yang tersedia. Namun itulah yang terjadi apabila sekumpulan pelajar tahun 4 Master Senibina UPM melaksanakan projek Dewan Komuniti di Pangsapuri Perumahan Awam Sri Sarawak, Pudu. Yang lebih menarik, Dewan Komuniti yang diubahsuai itu asalnya adalah sebuah rumah sampah yang tidak digunakan lagi.


Pada tahun 2018, Nurain Yazid, Sia Mun Guan, Tan Mei Shan, Chan Pei Jin dan Yong Ii Yan , dibawah bimbingan Pensyarah Jabatan Senibina UPM, Prof Madya Dr Zaky Jaafar, telah diberi tugasan untuk mengenalpasti keperluan komuniti tersebut dan mencadangkan suatu intervensi yang dapat memenuhi keperluan mereka. Disinilah cabarannya, iaitu keperluan komuniti itu sebenarnya tidak disuarakan, bahkan mungkin tidak disedari oleh komuniti itu sendiri. Dengan kejasama NGO MyPJ mereka telah dapat menghubungi Persatuan penduduk, ThinkCity dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk melaksanakan kajian ini di Pangsapuri Sri Sarawak.


Mereka mengambil masa untuk mendekati, mengenali, berbicara dengan berbagai lapisan komuniti di situ. Idea ini muncul apabila dari kajian ini, mereka mendapati kemudahan sedia ada tidak begitu memenuhi keperluan harian untuk apa yang digelar ruang ketiga (third space) yang dapat memberi keselesaan untuk aktiviti santai harian untuk komuniti disini. Ruang ketiga bermaksud ruang sosial harian selain dari rumah dan tempat pekerjaan. Ini termasuklah kedai kopi, surau, rumah ibadat, atau apa sahaja ruang dimana komuniti dapat berinteraksi dan melakukan aktiviti bersama secara santai. Kawasan perumahan ini dihuni oleh berbagai kaum dan penganut, oleh itu suatu ruang dimana aktiviti kemasyarakatan dapat dilaksanakan dengan lebih terbuka dan disertai oleh berbagai lapisan komuniti setiap hari adalah sangat berharga.


Mereka memikirkan bagaimana cara untuk menyediakan ruang ke tiga ini, sedangkan hampir semua ruang sedia ada telah ada fungsi masing2. Namun dari kajian fizikal, mereka menemui sebuah struktur usang yang tidak lagi digunakan. Ianya sebuah rumah sampah yang terletak di bahagian belakang tapak pangsapuri ini. Dibelakangnya terdapat sebuah gelanggang badminton yang agak tersorok dari Blok kediaman. Rumah sampah itu, selain menjadi tempat pembuangan sampah secara haram, ia juga menyebabkan gelanggang badminton itu menjadi tersorok dan tidak begitu sesuai untuk anak2 kecil bermain. Selain dari rumah sampah tersebut, bersebelahannya ialah sebuah struktur berbumbung yang menjadi stor barang yang agak tidak terurus.

Akhirnya tercetuslah idea untuk menjadikan ke dua-dua struktur ini berguna dan menjadi penyelesaian masalah yang ditemui. Dalam proses rekabentuk, mereka mencadangkan rumah sampah itu dibuka dindingnya dan menjadi penghubung kepada gelanggang badminton di belakangnya. Bangunan setor pula dicadangkan diubahsuai menjadi dapur komuniti di mana aktiviti masak memasak dapat dilakukan. Setelah rekabentuk disiapkan, kumpulan pelajar ini membentangkan konsep rekabentuk kepada Persatuan Penduduk Pangsapuri Sri Sarawak, NGO MyPJ, ThinkCity dan DBKL Sendiri. Menyedari potensi cadangan kumpulan pelajar ini, ThinkCity telah bersetuju membiayai pembinaan struktur dan DBKL memberikan kelulusan yang diperlukan. Encik Jeffrey Phang, dari NGO MyPJ adalah antara individu yang banyak membantu di dalam merealisasikan projek ini.


Hasilnya ialah sebuah bangunan yang terbuka, yang menghubungkan blok tersebut dengan ruang rekreasi di belakangnya. Struktur stor disebelahnya telah diubahsuai menjadi dapur komuniti yang selesa dan luas. Dinding antara kedua struktur ini juga dibuka, menjadikan aktiviti antara dapur dan dewan sangat mudah dijalankan.


Dalam membuat pembentangan, teknik yang berkesan perlulah diketahui apabila memohon kerjasama terutamanya dalam meminta sumber kewangan untuk menjayakan projek. Pelajar telah diajar teknik pembentangan NABC didalam kursus ini. Ia adalah teknik yang dihasilkan oleh Stanford Research International, yang terbukti berkesan apabila seseorang ingin meminta dana dalam menjalankan suatu projek inovasi. NABC adalah singkatan dari perkataan Need (Keperluan), Approach (Penyelesaian), Benefit (Faedah) dan Competition (saingan). Keberkesanan teknik ini terbukti apabila mereka berjaya membantu projek ini meraih dana yang diperlukan dari ThinkCity, NGO yang banyak melaksanakan projek2 kemasyarakatan disekitar Kuala Lumpur.


Sejak bangunan ini dibina pada tahun 2020, berbagai aktiviti komuniti telah dilaksanakan. Kenduri kendara, gotong royong, aktiviti sumbangan masyarakat. Pada bulan Mei 2021, oleh kerana konsep pengudaraannya yang baik, ia telah menjadi pusat saringan COVID19 percuma. Dari aktiviti2 yang dijalankan, jelas kelihatan semangat kejiranan dapat dipertingkatkan dengan adanya binaan kedua2 struktur ini.



Bagi kumpulan pelajar ini, ia merupakan pengalaman berharga dalam pengajian mereka untuk menjadi seorang arkitek. Selain dari kemahiran melukis dan merekabentuk bangunan, mereka juga mendapat pengalaman mengenali dan menyantuni masyarakat, berinteraksi dengan NGO, mengumpul sumber dan yang paling penting merealisasikan suatu usaha murni yang bermanfaat untuk masyarakat.


Kumpulan Pelajar tahun 4 Master Senibina UPM yang menjayakan projek ini. Dari Kiri: Sia Mun Guan, Tan Mei Shan, Chai Pei Jing, Nurain Mohd Yazid. (Tiada dalam gambar: Yong Ii Yan)

122 views0 comments

Recent Posts

See All

Commentaires


bottom of page