Oleh Zaky Jaafar
Pada 17 Julai 2024, dalam masa beberapa jam, sekumpulan pelajar seni bina UPM berjaya membina wakaf kayu untuk kegunaan awam di Taman Rekreasi Gunung Lang, Ipoh. Aktiviti kemasyarakatan ini merupakan kerjasama antara Cart Atelier Sdn Bhd dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Fabrikasi komponen dilakukan oleh MyTeakwood Sdn Bhd (MTH). Pemasangan prototaip telah dilaksanakan di Taman Rekreasi Gunung Lang, Ipoh, Perak, dengan penyertaan pelajar tahun 3 program Sarjana Muda Seni Bina, UPM.
Prototaip ini diberi nama PIAS (Pondok Ilmu Asli). Ia adalah hasil penyelidikan selama setahun untuk menghasilkan struktur kayu pasang siap. Prototaip ini berbentuk wakaf separa terbuka untuk kegunaan aktiviti anak anak pengunjung untuk membaca dan bermain. Keunikan prototaip ini ialah ia mudah dibina oleh sekumpulan orang yang hanya mempunyai kemahiran asas, atau tanpa kemahiran, dengan berpandukan manual yang memperincikan langkah2 pemasangan. Ia telah disiapkan dalam masa enam jam.
Komponen tersebut telah dikilangkan di Negeri Sembilan dan diangkut dengan lori 3 tan dan dipunggah di tapak pada jam 8 pagi pada 17 Julai 2024. Peserta aktiviti ini adalah seramai 8 orang pelajar dari program Sarjana Muda Senibina di Universiti Putra Malaysia. Pada jam 11 pagi mereka diberi taklimat ringkas oleh pasukan penyelidik. Mereka juga diberi manual A4, (Versi poster manual juga dicetak dan diletak di tapak untuk memudahkan proses rujukan). Sejurus selepas taklimat ringkas, mereka mula bekerja sehingga jam 6.00 petang, dengan masa rehat untuk makan tengahari.
Prototaip ini akan ditinggalkan di tapak di bawah jagaan Majlis Bandaraya Ipoh. Ia bertujuan sebagai wakaf untuk anak-anak keluarga yang mengunjungi Taman Rekreasi. Saiz wakaf ialah 12 kaki kali 12 kaki. Panel dibuat daripada papan lapis, kayu, anyaman buluh dan bertam yang menghiasi ruang dalam struktur dan sebahagian dinding luar. Salah satu dinding dilengkapkan dengan rak, bertujuan untuk meletakkan buku dan permainan yang akan diperolehi dari sumbangan orang ramai.
Semasa proses tersebut, rakaman video, dan soal selidik telah diedarkan kepada para peserta. Data daripada laktiviti ini akan digunakan untuk membangunkan versi prakomersial untuk beberapa unit yang dirancang pada akhir tahun ini.
ReTIS (Ready To Install Structure) adalah hasil inovasi yang mampu memberi kebebasan kepada pengguna dari segi perancangan reka bentuk serta kapasiti kewangan dan sumber manusia. Inovasi ini menggalakkan idea berteknologi rendah yang lebih mesra pengguna atau lebih dikenali dengan frasa “Senibina dengan tanggungjawab sosial”. Seni bina berteknologi rendah ini meneroka cara yang lebih mampan untuk mengurangkan pembaziran bahan binaan tempatan dan juga menggunakan kemahiran tenaga buruh tempatan. Inovasi ini juga boleh dilakukan pada peringkat pengeluaran besar-besaran kerana ia boleh diselia dalam persekitaran terkawal, justeru kualiti pengeluaran terjamin untuk pengkomersilan.
Konsep ini dibangunkan oleh Pasukan Penyelidik Seni Bina Komuniti, Jabatan Seni Bina, Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina, UPM. Pengkomersilannya dilesenkan kepada Cart Atelier Sdn Bhd, sebuah syarikat pemula di bawah Program Innohub UPM.
Berikut adalah kronologi aktiviti:
7.30 pagi- ketibaan dan pemunggahan komponen dan mesin/alat
8:00 pagi- pembersihan tapak dan keluar dari tunggul konkrit
9.00am- menyusun komponen dan aksesori ReTIS
10.00am- pelajar tiba di tapak dan sarapan pagi
11:00am- taklimat tapak mengenai keselamatan, pengenalan projek, reka bentuk projek dan cara membaca manual.
11.20- Bermulanya pemasangan kerangka utama.
2:00- makan tengah hari
3:00pm- pemasangan panel dinding
4:30pm- pemasangan bumbung
6:30 petang- selesai
Comments