top of page
Search
  • Writer's pictureZaky Jaafar

Pemikiran dan Penyelidikan Senibina: Jawapan kepada kemelut era VUCA.

Updated: Mar 10, 2023

Era VUCA dikenalpasti sebagai corak utama tamadun masakini, VUCA diambil dari perkataan volatility (kemeruapan), uncertainty (ketidaktentuan), complexity (kerumitan) dan ambiguity (kekaburan). Dengan kemunculan teknologi IR4.0 dan krisis pandemik, masyarakat mula sedar bahawa cara kita menguruskan tamadun adalah tidak cekap dan penuh krisis. Dunia dan masyarakat sangat cepat berubah. sehingga timbul krisis mencari tindakan yang tepat dalam menangani masalah2 ini.


Yang paling terkejut adalah pemikir masyarakat bahkan ilmuwan di akademia. Keperluan bertindakbalas dalam situasi sekarang perlulah sangat pantas dan dinamik. Cara penyelidikan dan penghasilan solusi yang diamalkan di akademia adalah sangat panjang dan lembab, dan sering tidak menjawab banyak isu2 sampingan yang timbul.(1) Maka timbul keperluan untuk menilai semula kaedah penyelidikan dan pemikiran yang diamalkan selama ini.


Disini saya ingin menyusulkan suatu gagasan, bahawa kaedah pemikiran dan penyelidikan bidang rekabentuk, terutamanya senibina, boleh menjadi jawapan kepada krisis ini. Namun terdapat suatu kejanggalan dalam gagasan ini, iaitu, bidang senibina adalah bidang kajian dan ilmu yang sering dicemuh sebagai tidak mencapai piawaian ilmiah moden. Ia sering dipinggirkan sebagai pseudo sains ataupun lemah dari segi scientific rigour nya.


Oleh itu mari kita lihat apa yang diperkatakan tentang hal ini. Apakah 'penyelidikan' dalam senibina? Suatu persoalan yang belum dapat dijawab dengan tuntas. Adakah dengan melaksanakan projek senibina, penyelidikan sedang berlaku? Ini sering di perakukan oleh para pengamal professional senibina. Kata mereka, sudah tentulah dalam melaksanakan projek senibina, tentu ada penyelidikan. Membangunkan brif projek memerlukan penyelidikan. Setiap satu projek tidak sama, maka perlukan data dan analisa yang berterusan. Namun perkara ini sering menjadi pertikaian, kerana, menurut kelompok besar akademia, penyelidikan mempunyai definisi yang spesifik, dan apa yang dikatakan oleh pengamal ataupun ilmuwan bidang senibina tentang penyelidikan adalah tidak tepat.


Ianya berlaku kerana di universiti di negara ini, bahkan di mana2 negara pun, penyelidikan lebih mirip penyelidikan bidang sains, samada sains sosial atau sains tulin. Maka sering timbul perdebatan kerana projek senibina, bahkan aktiviti pengajaran dan penyelidikan dalam bidang senibina, tidak menyerupai bidang lain.


Dari sini timbul pula krisis yang lebih hangat, iaitu bentuk penerbitan penyelidikian senibina. Ia hangat kerana penerbitan merupakan kriteria kenaikan pangkat sarjana universiti. Sedangkan penerbitan yang tidak memenuhi definisi bidang sains atau sains sosial, sering tidak diterima atau dianggap picisan. Oleh itu artikel ini cuba membincangkan satu perkara pokok: Apakah penyelidikan senibina.?


Jeremy till (2) mengklasifikasikan 3 model penyeledikan dalam bidang senibina

  1. Penyelidikan dalam Senibina - Seperti kajian tentang penchayaan, struktur, sistem bangunan dsb.

  2. Penyelidikan tentang senibina- Kajian tentang evolusi dan teori senibina

  3. Penyelidikan melalui senibina - Menggunakan projek senibina untuk menjawab suatu persoalan dalam masyarakat dan tamadun amnya.

Pada pendapat saya, item 1 dan 2 lebih mirip kepada bidang sains sedia ada. Dari segi epistemologi, ia masih boleh diperbahaskan. Namun biarlah ia dibuat di perbincangan yang lain. Namun perkara ke 3 merupakan suatu pengakuan yang sangat provokatif bagi sarjana dari disiplin lain, kerana dalam senibina, segala2nya sangat luwes dan berubah2. Sedangkan dalam bidang lain, proses menghasilkan ilmu atau dapatan adalah sangat ketat. (Scientific rigour). Sedangkan penyelidikan senibina lebih dinamik, berubah dan kabur. Justru itu, penyelidikan bidang senibina yang berasaskan pendekatan amalan dan studio rekabentuk sering dianggap tidak tepat, tidak sah ataupun tidak mempunyai nilai ilmiah saintifik.


Namun pada pendapat saya, ini adalah kerana bidang senibina tidak mudah tunduk kepada salah satu fenomena moden iaitu redaksionisme. Fenomena redaksionisme dewasa ini mula dipersoalkan tentang kesahihannya bahkan kemudaratannya dalam pembinaan tamadun. Kita berada di suatu persimpangan dimana pendidikan senibina boleh menjadi mode epistemologi penyelidikan yang ampuh dalam menangani era VUCA.


Ini kerana, projek senibina secara amnya ialah menggabungkan idea dari berbagai disiplin dan dinamika ke dalam suatu manifestasi projek dunia nyata. Ia bukan sesuatu yang mudah. Sebuah projek senibina menggabungkan falsafah, teknologi, masyarakat dan alam sekitar dalam suatu gagasan yang nyata. Ia bukan mudah, ia tidak boleh dikekang dengan mode epistemologi sekularisme, empirisme, rasionalisme yang menjadi tunjang redaksionisme. Oleh itu tidak hairanlah selama ini penyelidikan bidang senibina sering diremehkan kerana tidak menepati kriteria sempit redaksionisme.


Ada 2 perkara yang menjadi asas untuk penilaian semula kaedah epistemologi penyelidikan akademia, pertamanya, ketibaan era VUCA, keduanya, krisis pandemik. Kedua2nya menyerlahkan betapa rapuhnya model ilmu yang dibina atas dasar redaksionisme, dimana fenomena dunia cuba dicerai2kan kepada ukuran kecil yang boleh ditatar berasingan. Ia tidak menjadi. Semasa pandemik para pakar bergelut dengan isu trans dan multi disiplin. Penyelesaian masalah dunia nyata tidak boleh ditangani oleh pakar satu bidang sahaja, bahkan tidak boleh dari cara pemikiran yang seragam walaupun dari bidang berbeza.


Disinilah mula terlihat peluang untuk mode penyelidikan dan pemikiran senibina berharga. Ia telah mula diperbahaskan lebih awal iaitu dengan kemunculan pemikiran Rekabentuk (Design Thinking) yang dipelopori di Universiti Stanford. Stanford Design School, bukanlah sekolah rekabentuk yang kita biasa temui. Ianya merupakan tempat dimana pelajar dari berbagai bidang bekerja bersama atas suatu projek dunia nyata. Ia mengambil contoh daripada proses rekabentuk untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Ini diangkat sebagai kaedah yang lebih sesuai, kerana didapati untuk penyelesaian masalah dunia nyata yang kompleks, pendekatan integrasi dan kepantasan iterasi seperti yang diamalkan dalam proses rekabentuk sangat penting. Dari lawatan saya ke sekolah tersebut, ia sangat mirip dengan studio rekabentuk senibina. Tiada ruang kuliah khas bahkan pelan terbuka dengan susunan partition yang penuh dengan coretan perbincangan, post it warna warni dan meja diskusi berserakan. Memang terasa seperti berada di sebuah sekolah senibina.


Stanford Design School, pengajian multidisiplin yang mengambil mode pemikiran rekabentuk dalam menyelesaikan masalah dunia nyata.

Oleh itu, terdapat suatu keperluan untuk membina kematangan dan keampuhan bagi kaedah penyelidikan bahkan pemikiran senibina, agar diterima pakai sebagai suatu pendekatan (mode) bukan hanya kaedah (method) dalam penghasilan ilmu dan kajian di akademia.


Terdapat keperluan untuk membina teori dan literatur epistemologi dalam ruang lingkup pemikiran dan penyelidikan rekabentuk dan senibina. Keduanya, perlu dirombak kefahaman lama bahawa diseminasi ilmiah hanyalah dalam bentuk2 tertentu seperti penerbitan jurnal berwasit. Bahkan proses membangunkan persoalan kajian, kaedah mengumpul data empirikal, kaedah ekperimentasi dan intervensi juga perlu dilihat semula dari perspektif rekabentuk. Pada akar umbinya, pemakaian falsafah redaksionisme dalam epistemologi moden juga perlu di rungkai dan dirombak semula.


Cabaran utama ketika ini ialah di universiti negara ini, anutan terhadap kaedah ilmu dan kajian dalam corak redaksionisme sangat tebal. Sarjana dihambat dengan kaedah penyelidikan yang sangat condong kepada kaedah bidang sains dan sains sosial. Namun seandainya ilmuwan, pengamal dan pakar senibina sanggup menghadapi cabaran ini, di masa hadapan, bidang inilah yang kan menjadi peneraju transformasi ilmu dan keimuan era VUCA.

  1. The SARS-CoV-2 crisis: A crisis of reductionism?https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC7290200/

  2. Jeremy Till | Collected Writings | Three Myths and One Model | 2007 https://www.archdaily.com/802766/architectural-research-three-myths-and-one-model


81 views0 comments
bottom of page